KUALA LUMPUR, 14 Mac- Kecekapan juruterbang tempatan dalam mengendalikan pesawat canggih membuktikan kesiapsiagaan pertahanan negara khususnya dalam acara antarabangsa seperti Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi libat urus bersama pengurusan tertinggi Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, hari ini.
"Usai mesyuarat, saya beramah mesra dengan juruterbang-juruterbang yang terlibat dalam pelbagai acara peringkat kebangsaan dan antarabangsa seperti sambutan Hari Kemerdekaan serta siri pameran LIMA.
"Kemampuan dan keupayaan mereka mengendalikan pesawat dengan cekap dan meyakinkan ini membuktikan keupayaan anak watan dalam memastikan kesiapsiagaan pertahanan negara pada tahap terbaik," katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Dalam pertemuan itu, beliau turut menekankan kepentingan status aset pertahanan, latihan, kebajikan serta kerjasama semua pihak dalam memastikan kesiapsiagaan negara kekal utuh.
"Saya juga meminta sinergi baharu diwujudkan supaya ekosistem penyelidikan dan pembangunan (R&D) pertahanan terus maju seiring dengan perubahan serta kecanggihan teknologi dunia," katanya.
Selepas sesi libat urus itu, Perdana Menteri menyantuni warga Kementerian Pertahanan sempena Program Ihya’ Ramadan 2025 di Masjid al-Muhajirin, Pangkalan Udara Subang.
Pada program itu, Anwar menunaikan solat Jumaat bersama lebih 700 jemaah dalam kalangan warga Kementerian Pertahanan dan mendengar khutbah bertajuk "al-Quran Kitab Penuh Mukjizat" yang disampaikan Ketua Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) Mejar Jeneral Datuk Mohd Rashidi Bujai.
Perdana Menteri kemudian mengedarkan bubur lambuk kepada warga Kementerian Pertahanan di masjid berkenaan.
Turut hadir dalam program itu ialah wakil Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) yang disifatkan Perdana Menteri sebagai tulang belakang institusi keluarga kepada pegawai dan anggota ATM.
"Peranan mereka amat penting dalam memberi dokongan kepada pegawai dan anggota yang sentiasa sedia berkorban demi tanah air," katanya.