fb fb fb fb fb

SUPERB berjaya lahirkan 231 usahawan bumiputera sejak 2014

SHAH ALAM, 29 Jun - Seramai 231 usahawan bumiputera berjaya dilahirkan menerusi Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUPERB) yang bermula tahun 2014 sehingga tahun lalu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid berkata program anjuran Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) itu merupakan platform terbaik dalam membantu usahawan bumiputera mengembangkan perniagaan dan menjadi lebih kompetitif di pasaran tempatan dan antarabangsa.

Beliau menyatakan kesediaan dan komitmen pihaknya untuk terus membantu usahawan bumiputera agar lebih berdaya tahan sekali gus memperkasa golongan tersebut.


(Datuk Mastura merasmikan kilang QESI Q Lab, kilang kosmetik milik usahawan bumiputera) 

Dalam pada itu, Mastura turut menyeru usahawan bumiputera untuk tampil sekiranya memerlukan khidmat nasihat dan bimbingan perniagaan terutama selepas mendepani cabaran pandemik COVID-9.

"Keupayaan syarikat-syarikat bumiputera ini harus kita bantu supaya ia dapat (meningkat) ke satu tahap yang berdaya saing dan berdaya tahan, kita juga perlu mengambil kira apa yang telah berlaku sewaktu pandemik, banyak syarikat telah lumpuh, oleh itu banyak usaha dan peruntukan yang disediakan kerajaan untuk mengembalikan mereka ke landasan usahawan seperti mereka sebelum ini atau lebih baik," kata beliau selepas Majlis Perasmian kilang QESI Q Lab, di sini.

Qesi Q Lab merupakan kilang kosmetik milik usahawan bumiputera, Narqes Beauty Malaysia Sdn Bhd yang mendapat pengiktirafan Amalan Pengilangan Baik (GMP).

Media Baharu