fb fb fb fb fb

Hospital Pendang siap 98% selaras pelan perancangan

ALOR SETAR, 29 Jun- Pembinaan Hospital Pendang sudah mencapai 98% dan dijangka dirasmikan pada penghujung tahun ini.

Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim berkata, sehingga kini pembangunan hospital itu mengikut jadual dan pelan perancangan yang telah ditetapkan dan semuanya berjalan dengan lancar.

“Setiap dua, tiga bulan saya akan turun untuk lihat sendiri tahap kemajuan dan pembinaan hospital ini. Dalam lawatan ke Hospital Pendang semalam, saya lihat semuanya berjalan dengan lancar jadi saya yakin ia dapat beroperasi sepenuhnya pada 2023.

“Perasmian hospital ini dijangka dibuat pada hujung 2022 tetapi mungkin ia dapat dipercepatkan lagi bagi membolehkan semua penduduk Pendang menggunakan kemudahan yang ada di situ,” katanya ketika diminta mengulas mengenai status pembinaan Hospital Pendang.

Awang yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata sebagai wakil rakyat di Pendang, beliau mahu memastikan penduduk di daerah itu segera mendapat akses perkhidmatan kesihatan yang lebih baik.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Dialog Berstruktur Tripartite 2022 Wilayah Utara: Meningkatkan Kebolehkerjaan Graduan Tvet di sebuah hotel di Mergong, di sini, hari ini.

“Sebelum ini, mereka perlu ke hospital di daerah lain seperti Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar dan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani untuk mendapatkan rawatan tetapi dengan adanya Hospital Pendang ini, ia dapat mengurangkan kos perjalanan mereka,” katanya.

(Pembinaan Hospital Pendang sudah mencapai 98%/BERNAMA)

Tambah beliau, hospital berkenaan merupakan semi pakar yang bakal dilengkapi dengan peralatan berteknologi tinggi yang boleh dimanfaatkan oleh penduduk di daerah itu yang rata-ratanya kurang berkemampuan.

Hospital yang dibina di kawasan seluas 17 hektar di Kampung Banggol Pauh, Pendang itu mampu menempatkan 126 katil dan menyelesaikan masalah penduduk yang terpaksa ke HSB bagi mendapatkan rawatan.

Media Baharu