fb fb fb fb fb

Sungai Golok kering, kawalan sempadan Malaysia-Thailand diperketat

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun

KOTA BHARU, 24 Mac- Kawalan sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan akan terus diperketat susulan Sungai Golok mulai kering sejak beberapa hari lalu.

Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang cuba menyeberang sempadan secara haram.
 
Beliau berkata penduduk khususnya mereka yang tinggal di sepanjang Sungai Golok, Rantau Panjang, Pasir Mas perlu menggunakan laluan yang sah untuk masuk ke negara jiran.
 
"Sama ada Sungai Golok kering, meluncur, merentas sempadan secara haram adalah salah. Mengapa menggunakan laluan yang salah? Jadi tindakan pihak polis saya percaya di sempadan ini Pasukan Gerak Am akan terus memantau, memperketatkan supaya tidak berlaku perkara-perkara yang tidak diingini terutamanya penyeludupan", katanya.
 
Terdahulu, Datuk Muhamad Zaki menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Cawangan Khas dan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kelantan di Kota Bharu.
 
Mengulas lanjut, beliau memberi jaminan tahap kawalan keselamatan di sempadan negara tetap berjalan seperti biasa tanpa mengira waktu.
 
Sungai Golok yang memisahkan sempadan negara dan Thailand di Kelantan itu kini di laporkan kering berikutan cuaca panas.
 
Dalam perkembangan berasingan, Datuk Muhamad Zaki berkata pihaknya menerima 267 permohonan untuk mendapatkan permit menjual bunga api dan mercun sempena Aidilfitri tahun ini. Daripada jumlah itu, 159 permohonan diluluskan setelah memenuhi kriteria yang telah ditetapkan.

"Kita bagi ruang kepada sesiapa hendak menjual, kita ada agen yang sah diluluskan, yang dibenarkan mengikut undang-undang.

"Saya telah cakap pada awal dulu walaupun jumlah itu kecil, jangan bagi alasan untuk main sendiri atau sebagainya, bukan soal berniaga, membawa masuk itu tidak betul, kerana kita telah keluarkan permit", katanya.

ROSLINA BINTI DIN