fb fb fb fb fb

Perlis, Hulu Perak dan Beaufort catat gelombang haba

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 24 Mac- Perlis, Hulu Perak di Perak serta Beaufort di Sabah menjadi tiga kawasan yang merekodkan gelombang haba tahap dua iaitu suhu maksimum harian 37 hingga 40 darjah Celsius bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hantaran berkenaan status cuaca panas di Facebook memaklumkan, kira-kira 29 kawasan di Semenanjung, tiga di Sarawak dan satu di Sabah merekodkan suhu panas tahap satu atau berjaga-jaga.

Bagi kawasan Semenanjung, ia melibatkan 10 kawasan iaitu enam di Kedah (Kota Setar, Kubang Pasu, Pendang, Kuala Muda, Pulau Langkawi, Sik, Baling, Kulim, Pokok Sena dan Padang Terap) serta empat di Perak (Kinta, Kuala Kangsar, Batang Padang dan Kampar).

Sementara itu di Pahang (Bera, Maran, Temerloh dan Raub), Johor (Tangkak, Muar, Batu Pahat dan Segamat) dan Kelantan (Gua Musang, Kuala Krai, Jeli dan Pasir Mas) manakala dua di Melaka (Alor Gajah dan Jasin) serta satu di Negeri Sembilan (Jempol) merekodkan suhu panas tahap satu.

Sarawak (Mukah, Telang Usan dan Limbang) serta Sabah (Kota Belud) turut berdepan situasi sama.

Sebelum ini MetMalaysia memaklumkan Malaysia berada dalam fasa akhir monsun timur laut. Lazimnya kawasan utara Semenanjung akan mengalami litupan awan dan taburan hujan yang kurang selain menyebabkan cuaca lebih panas serta kering daripada kebiasaan.

MetMalaysia turut menjangkakan suhu maksimum harian di negara ini boleh menjadi lebih tinggi di kebanyakan tempat berikutan fenomena El Nino kuat yang kini melanda dunia.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI