
KOTA KINABALU, 13 Jun – Peranan serta sumbangan golongan wanita merupakan tonggak penting bagi menjayakan aspirasi Malaysia MADANI.
- Pembangunan negara mesti disertai pembentukan nilai, akhlak dan kekuatan rohani dalam masyarakat.
- Kekuatan negara bermula di institusi keluarga dan didikan di rumah, dengan peranan penting ibu bapa.
- Penglibatan aktif wanita dalam pendidikan, ekonomi dan pembangunan masyarakat menyokong negara lebih sejahtera dan mampan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui pembangunan sesebuah negara tidak seharusnya hanya tertumpu kepada aspek fizikal seperti infrastruktur, teknologi dan industri, sebaliknya perlu disertai pembentukan nilai, akhlak serta kekuatan rohani dalam kalangan masyarakat.
“Kekuatan negara bermula dari institusi keluarga dan didikan di rumah. Justeru, peranan wanita berupaya membentuk generasi yang berilmu serta berakhlak dengan pembentukan jiwa dan nilai murni,”katanya ketika merasmikan Program Melangkah Bersama MADANI : Wanita Beriman, Wanita Bertahan Peringkat Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini.
Perdana Menteri turut menyatakan pendidikan asas anak-anak bermula di rumah melalui pengenalan terhadap ilmu agama, al-Quran serta nilai-nilai murni yang diterapkan oleh ibu bapa.
“Dalam masa sama, penglibatan aktif wanita dalam bidang pendidikan, ekonomi dan pembangunan masyarakat mampu menyumbang kepada pembentukan negara yang
lebih sejahtera dan mampan,”jelasnya.