fb fb fb fb fb

Sumbangan PMKS kepada KDNK berupaya mencecah 41 peratus menjelang 2025

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy

KUALA LUMPUR, 11 Disember- Sumbangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kepada keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berupaya mencecah 41 peratus menjelang 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia (SME Corp), Rizal Nainy yakin ia mampu dicapai, disokong program galakan eksport melibatkan kumpulan usahawan berkenaan.

Menerusi aktiviti galakan eksport, PMKS akan diperkasakan dengan maklumat dan kemahiran yang membolehkan golongan ini menembusi perdagangan antarabangsa.

"Ketika ini kita berada pada 38.4 peratus. Untuk eksport, kita berada pada 10.5 peratus. Sasaran kita pada 20 peratus pada 2025 iaitu bagi PMKS sumbangkan kepada nilai eksport. Memperkasa PKS untuk persediaan eksport, memahirkan mereka, mengubah mereka, dari segi kebolehan mengeksport produk mereka", katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman antara SME Corp dan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC).

Menerusi perjanjian tersebut, MTDC dan SME Corp akan bekerjasama memperkasa 300 syarikat menerusi Program Mengubah Perusahaan Kecil dan Sederhana Kepada Pengeksport,(TSMEX).

Daripada jumlah itu, 30 syarikat berpotensi akan dipilih menjalani program intensif tiga bulan termasuk bimbingan daripada pemain industri dan profesional bagi membangunkan rancangan dan strategi eksport masing-masing.

ROSLINA BINTI DIN