fb fb fb fb fb

Sumbangan kepada Turkiye, balas jasa bantu Malaysia ketika pandemik COVID-19

PUTRAJAYA, 14 Februari- Bantuan kerajaan terhadap Turkiye adalah bagi membalas jasa baik negara itu, yang banyak membantu Malaysia ketika berdepan pandemik COVID-19.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia juga berikutan kejadian gempa bumi yang berlaku itu adalah kejadian buruk dalam sejarah.

"Mengapa kita berikan tumpuan yang agak khusus kerana malapetaka ini paling teruk dalam sejarah, selain daripada tsunami yang berlaku di Acheh.

"Kesan kematian dan kerosakan itu memang masih diperkirakan dan jumlah jauh merentasi apa yang diunjurkan sebelum ini.

"Keduanya untuk Turkiye, itu negara yang banyak sekali membantu negara kita, kita tahu umpanya MAHB yang walaupun beroperasi di lapangan terbang di sekitar Istanbul dan bila menerima keadaan kerugian besar Covid, itu dibantu dengan dana yang besar oleh Turkiye.

"Jadi saya mahu rakyat tahu ini bukan hubungan biasa, kerana pertamanya sahabat, keduanya sangat dekat dengan kita dan ketiganya bila keadaan syarikat kita itu mengalami permasalahan besar, dibantu luar daripada kaedah dan petimbangan biasa yang mencecah jumlah yang amat besar," katanya.

(Perdana Menteri berucap pada Majlis Sumbangan Dana Bencana di Kompleks Seri Perdana hari ini)

Beliau berkata demikian pada Majlis Sumbangan Dana Bencana di Kompleks Seri Perdana, di sini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Lebih RM25 juta berjaya dikumpulkan bagi meringankan beban mangsa tragedi gempa bumi Turkiye dan Syria.

Sumbangan terbesar diterima daripada Yayasan Albukhary berjumlah RM10 juta; Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (RM4.4 juta), Brahim Dewina Group (RM3 juta) dan YTL Corporation Bhd (RM2 juta).

Media Baharu