fb fb fb fb fb

Wakil Tetap Malaysia, Kementerian Luar umum dua pelantikan ke PBB dan Asean

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 14 Februari- Datuk Dr Ahmad Faisal Muhamad dilantik sebagai Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Amerika Syarikat.

Sementara itu, Nur Izzah Wong Mee Choo pula dilantik sebagai Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) di Jakarta, Indonesia.

Kementerian Luar menerusi satu kenyataan memaklumkan, Dr Ahmad Faisal dan Nur Izzah menerima surat pelantikan masing-masing yang diserahkan Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, di Wisma Putra, hari ini.

(Datuk Dr Ahmad Faisal Muhamad/Foto fail Bernama)

Dr. Ahmad Faisal berkelulusan doktor falsafah dalam bidang Hubungan Antarabangsa dari London School of Economics and Political Science di United Kingdom.

Beliau memulakan perkhidmatan sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada tahun 1994 dan mempunyai pengalaman sebagai Wakil Tetap Malaysia ke PBB di Geneva, Switzerland sejak tahun 2019.

Selain pernah dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Myanmar pada 2011 hingga 2014.

Sementara itu, Nur Izzah pula berkelulusan sarjana dalam bidang Strategi dan Diplomasi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan menyertai perkhidmatan awam pada tahun 1996.

Beliau merupakan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand sejak tahun 2018 dan ditauliahkan serentak ke Cook Islands dan Samoa.

Nurul Izzah juga pernah memegang jawatan di Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, China.

Media Baharu