fb fb fb fb fb

Sultan Terengganu berkenan rasmi Hospital Sultan ZainaL Abidin

Sultan Mizan Zainal Abidin (dua kanan) berkenan merasmikan Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA), Kuala Nerus, Terengganu hari ini

KUALA NERUS, 12 Mei- Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA) di sini bersempena sambutan ulang tahun ke-62 Hari Keputeraan baginda.

Berangkat sama Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Raja Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mustapha Sakmud.

HoSZA diserahkan kepada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada 7 Februari 2022 selepas sembilan tahun pembinaannya. 

Ia menawarkan perkhidmatan pengimejan dengan menyediakan akses kepada teknologi terkini seperti penggunaan Magnetic Resonance Imaging (MRI) 3 Tesla dan Computed Tomography (CT) 256 keping yang dapat memastikan diagnosis tepat dan rawatan efisien bagi semua pesakit.

Dalam bidang pembedahan subkepakaran, HoSZA menawarkan perkhidmatan terkemuka dalam kolorektal dan urologi, dan menerusi kerjasama dengan Institut Jantung Negara (IJN) ia menawarkan perkhidmatan kardiologi, termasuk koronari bukan invasif dan percutaneous.

HoSZA turut menyediakan perkhidmatan perubatan hiperbarik untuk merawat pelbagai keadaan kesihatan menggunakan terapi oksigen tekanan tinggi.

Kerjasama rapat juga dijalin bersama Fakulti Perubatan dan Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan UniSZA bagi memperkuatkan lagi persekitaran penyelidikan dan pembangunan saintifik di HoSZA.

Sementara itu, Ahmad Samsuri dalam ucapannya percaya HoSZA mampu mencapai standard kecemerlangan sebagai Hospital Rujukan Pakar sepadan dengan hospital pengajar yang telah berdiri kukuh di Malaysia bagi menyediakan perkhidmatan seperti perubatan, pembedahan dan pemulihan.

HoSZA kini dalam perancangan fasa 2 untuk penambahan lebih banyak fasiliti dan katil bagi menjadikan keseluruhan 400 katil.

SITI AISHAH MD ISA