fb fb fb fb fb

Sultan Selangor zahir syukur 23 aktivis GSF selamat pulang ke tanah air

Foto Facebook Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi

KUALA LUMPUR, 9 Oktober - Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa syukur atas kepulangan 23 aktivis Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke tanah air.

Menurut hantaran Facebook Selangor Royal Office, baginda amat menghargai dan kagum dengan usaha serta kesungguhan ditunjukkan aktivis Malaysia yang terlibat, serta kesemua misi sukarela dikendalikan GSF demi membantu rakyat Palestin yang masih ditindas rejim Zionis.

"Baginda mengikuti rapat perkembangan GSF dan prihatin dengan nasib yang menimpa mereka apabila ditahan oleh rejim Zionis Israel di perairan antarabangsa semasa menuju ke Gaza.

"Baginda turut berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berjaya menguruskan pembebasan kesemua aktivis dari Malaysia dengan segera hasil kerjasama kerajaan Turkiye," menurut hantaran itu.

Dalam pada itu Sultan Sharafuddin juga mencadangkan agar 23 aktivis sukarelawan terlibat agar menulis dan menggabungkan pengalaman perjalanan mereka di dalam sebuah buku, khususnya pengalaman ketika dalam tahanan rejim Zionis sebagai rujukan dan pedoman kepada rakyat Malaysia.

Baginda berharap usaha-usaha dilakukan menerusi GSF akan terus membuka mata dunia meskipun bantuan kemanusian kali ini tidak dapat disalurkan kepada rakyat Gaza.

Selain itu menurut baginda, usaha tersebut juga menjadi platform untuk menyedarkan semua pihak mengenai penindasan dan kekejaman sebenar yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel ke atas rakyat Gaza.

Terdahulu, media melaporkan Kementerian Luar mengesahkan kesemua 23 aktivis Malaysia dalam misi GSF selamat tiba di tanah air dan berada dalam keadaan sihat.

Penerbangan Emirates EK342 yang membawa 27 aktivis Malaysia termasuk empat dari kapal pemerhati dan lima peguam mendarat pada 10.07 malam Selasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1.

Kesemua 23 aktivis itu terdiri daripada penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah yang menaiki kapal Hio; Nurfarahin Romli (Farah Lee) dan Danish Nazran Murad (kapal Grande Blu); penyanyi Zizi Kirana (kapal Huga); Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (kapal Alma); Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiruddin dan Rusydi Ramli (kapal Sirius).

Selain itu, Razali Awang menaiki kapal Inana; Ardell Aryana (kapal Mikeno); PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar, Norazman Ishak (kapal Estrella); Zainal Rashid dan Ustaz Muhammad Abdullah (kapal Fair Lady) serta Muhammad Hareez Adzrami atau lebih dikenali Haroqs, Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif (kapal Free Willy).

Pada 2 Oktober lepas, 23 aktivis rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF ditahan tentera rejim Zionis selepas kapal mereka dipintas ketika berada di perairan Zon Merah di Laut Mediterranean sebelum dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel.

Kesemua mereka dilapor dibebaskan dan berlepas dari Lapangan Terbang Ramon, Israel pada 6.45 petang waktu Malaysia pada Sabtu, sebelum tiba di Istanbul pada 8.40 malam waktu Malaysia.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI