fb fb fb fb fb

PM bangga pencapaian Jojo, cermin nilai sebenar anak Malaysia

Foto Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 9 Oktober - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan rasa bangga dan penghargaan atas kejayaan atlet muda Muay Thai negara, Johan Ghazali atau Jojo, yang terus mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Beliau menerusi hantaran Facebook menyifatkan keazaman, disiplin dan semangat juang tinggi yang ditunjukkan Jojo mencerminkan nilai sebenar seorang anak muda Malaysia yang tidak mudah menyerah dalam mengejar impian.

"Lebih membanggakan, saudara Jojo turut aktif menyuarakan pandangan dan menyertai kempen kesedaran bagi membanteras budaya buli, serta menyuntik inspirasi kepada anak muda untuk membina keyakinan diri, keteguhan jati diri dan semangat positif dalam kehidupan seharian," menurut hantaran itu.

Perdana Menteri turut menyatakan keyakinan bahawa dengan semangat dan sokongan berterusan, lebih ramai atlet muda akan lahir untuk mengharumkan nama negara di peringkat dunia.

"Kata mantan Presiden Amerika Syarikat John F. Kennedy, "ask not what your country can do for you but ask what you can do for your country" yang menyemai budaya kecintaan kepada negara dan semangat kolektif membangun negara dan masyarakat," tambah kenyataan itu.

Menerusi hantaran sama beliau turut memberi sokongan kepada Jojo selain terus berusaha gigih serta memberi inspirasi kepada generasi muda supaya terus menyumbang kepada negara.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI