KUALA LUMPUR, 9 Oktober - Lebih 10 juta warganegara telah menikmati RON95 pada harga RM1.99 seliter melalui inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dengan jumlah jualan sebanyak RM727.7 juta atau penggunaan sebanyak 365.7 juta liter.
Kementerian Kewangan (MoF) dalam satu kenyataan memaklumkan, ia menunjukkan penerimaan memberangsangkan daripada rakyat selepas subsidi bersasar petrol RON95 melalui inisiatif BUDI95 diperkenalkan pada 27 September lalu.
Selain itu, transaksi BUDI95 turut menunjukkan peningkatan positif dan memuncak ketika hujung minggu pada lebih 3 juta transaksi sehari sejak ia dilaksanakan.
Pencapaian berkenaan menunjukkan bahawa rakyat bersedia menerima pendekatan subsidi bersasar yang dilaksanakan secara telus, efisien dan memberikan manfaat nyata.
Ia sekali gus membuktikan keberkesanan sistem digital pengesahan MyKad yang digunakan di stesen-stesen minyak lancar dan stabil.
"Kerajaan MADANI kekal komited memastikan program subsidi bersasar ini berjalan dengan lancar, telus dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
"MoF bersama agensi berkaitan akan terus memantau dan menambahbaik pelaksanaan BUDI95 dan dari semasa ke semasa," menurut kenyataan itu.