KUALA LUMPUR, 9 Oktober - Lebih 10,000 peserta menyertai Himpunan Solidariti Bersama Gaza: Gelombang Malaysia, Palestin Merdeka di ibu negara malam tadi sekali gus membuktikan gelombang solidariti rakyat Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin terus membara.
Himpunan itu mencerminkan semangat perpaduan dan iltizam rakyat Malaysia yang teguh berdiri bersama Palestin serta menyuarakan mesej jelas kepada dunia bahawa kezaliman dan penindasan tidak boleh dibiarkan berterusan.
Peserta yang hadir terus menyatakan sokongan terhadap rakyat Gaza selain mendidik generasi muda tentang perjuangan kemanusiaan dan kebebasan sejagat.
Salah seorang peserta yang ditemui RTM berkata, penyertaan dalam himpunan ini amat penting bagi memberi pendedahan awal kepada generasi muda tentang realiti yang dihadapi rakyat Palestin.
"Alhamdulillah, inilah masanya untuk kita dedahkan kepada anak-anak agar mereka faham apa yang berlaku terhadap rakyat Palestin sejak dahulu hingga kini," katanya.
Sementara itu, wakil pelajar Politeknik Banting yang turut hadir berkata, kehadiran mereka mencerminkan solidariti anak muda Malaysia terhadap perjuangan kemanusiaan di Gaza.
"Kami bersemangat hadir ke himpunan ini kerana turut merasakan kesan penindasan terhadap rakyat Palestin di Gaza, dan ingin menunjukkan solidariti kami bersama mereka," ujarnya.
Bagi seorang lagi peserta, kehadirannya bersama keluarga pada himpunan itu merupakan lambang kesedaran bersama bahawa perjuangan membebaskan Palestin perlu didukung semua lapisan masyarakat.
"Alhamdulillah, saya bawa anak-anak hari ini untuk beri kesedaran. Mereka perlu bersama delegasi Malaysia, kerajaan dan Perdana Menteri bagi membebaskan Palestin. Anak-anak dan remaja tidak boleh ketinggalan, mereka mesti turut serta dalam perjuangan ini,' jelasnya.
Himpunan Solidariti Bersama Gaza: Gelombang Malaysia, Palestin Merdeka bukan sekadar laungan solidariti, malah menjadi medan penyatuan suara rakyat Malaysia yang sentiasa konsisten mendukung perjuangan rakyat Palestin demi keamanan dan kebebasan sejagat.