fb fb fb fb fb

Sultan Selangor rasmikan Yayasan Perpustakaan Raja Tun Uda

FOTO RTM

SHAH ALAM, 23 November-Sultan Selangor berkenan merasmikan Yayasan Perpustakaan Raja Tun Uda (YPRTU), iaitu sebuah pusat pengumpulan dana bagi memperkaya koleksi perpustakaan.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj tiba di Perpustakaan Raja Tun Uda, diiringi Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Turut serta Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, Pengerusi dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhamad.

Baginda turut berkenan menyaksikan persembahan multimedia korporat dan multimedia Kilimanjaro selain menyampaikan sijil penghargaan kepada pasukan Kilimanjaro.

Sultan Selangor juga berkenan menyampaikan sijil penghargaan kepada 12 penderma yayasan terbabit antaranya Yayasan Azman Hashim yang menyumbang RM1 juta , Al-Bukhary Foundation dan YTL Power International dengan masing-masing RM500,000

Baginda kemudian melawat beberapa kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan untuk orang kurang upaya (OKU) penglihatan di zon kreatif perpustakaan terbabit.

Yayasan Perpustakaan Raja Tun Uda (YPRTU) berfungsi mengumpul dana daripada syarikat dan individu bagi memperbanyak koleksi di Perpustakaan Raja Tun Uda demi memenuhi keperluan pelbagai lapisan masyarakat.

Setakat 20 November, Yayasan itu mengumpul sebanyak RM3.3 juta hasil sumbangan 13 syarikat korporat.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD