SHAH ALAM, 13 Mac- Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima zakat perniagaan berjumlah 10.8 juta ringgit daripada empat syarikat korporat.
Baginda berkenaan menerima zakat berkenaan dalam satu program serahan zakat sempena Majlis Berbuka Puasa Sultan Selangor Bersama Rakyat di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Negeri, di sini, hari ini.
Bayaran zakat berkenaan diterima daripada Kumpulan Perangsang Selangor Berhad dan anak-anak syarikat yang menyerahkan zakat perniagaannya berjumlah RM5.05 juta; Kumpulan Worldwide Holdings Berhad (RM2.82 juta); Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (RM1.91 juta) dan Pertubuhan Kemajuan Pertanian Selangor RM1 juta.
Kesemua syarikat itu menunaikan pembayaran zakat perniagaan bagi tahun kewangan berakhir 2023.
Pada majlis sama, Sultan Selangor turut berkenan menyampaikan sumbangan hari raya kepada 430 penerima dari sekitar daerah Petaling melibatkan 118 orang asnaf fakir, 237 orang asnaf miskin dan 75 orang asnaf mualaf.
Kesemua mereka menerima sumbangan RM500 setiap seorang dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM215,000.
Pada majlis sama, Sultan Sharafuddin juga berkenan menandatangani plak Jubli Mutiara sempena sambutan ulang tahun ke-30 penubuhan Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Menerusi kenyataan media, LZS memaklumkan lembaga itu merekodkan peningkatan kutipan zakat di Selangor daripada RM15.9 juta ketika ditubuhkan pada 1994 kepada RM1.07 bilion pada 2022, bersamaan 17.7 peratus kadar peningkatan tahunan.
Agihan zakat yang dilaksanakan sepanjang 30 tahun itu juga meningkat kepada RM1.05 billion pada 2022 berbanding RM16.3 juta ketika penubuhan LZS 30 tahun lalu.
Secara keseluruhannya, LZS telah mengutip dan mengagihkan melebihi RM10.5 bilion dalam tempoh 30 tahun bagi meringankan beban golongan asnaf.