fb fb fb fb fb

87% responden mahu Payung Rahmah dikekalkan - Fuziah

Fuziah Salleh

KUALA LUMPUR, 13 Mac- Sebanyak 81 peratus daripada 1,600 responden berpuas hati dengan pelaksanaan program Payung Rahmah yang meliputi inisiatif Bakul Rahmah, Jualan Rahmah dan Pakej Rahmah.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, data itu diperoleh hasil kajian impak program berkenaan yang dilaksana hujung tahun lepas.

"(Selain itu) 87 peratus rakyat Malaysia juga berharap agar program Payung Rahmah dikekalkan. 73 peratus daripada responden bersetuju bahawa inisiatif Payung Rahmah dapat mengurangkan kos sara hidup.

"Sehubungan itu, KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) terus komited untuk meneruskan dan memperluaskan program Payung Rahmah pada 2024 sebagai salah satu strategi menangani kos sara hidup rakyat.

"Mulai 1 Mac 2024 program payung rahmah telah dijenamakan semula kepada Payung Rahmah MADANI," katanya menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin di Dewan Rakyat, hari ini.

Jelas Fuziah, menerusi Program Payung Rahmah MADANI, tiga inisiatif baharu diperkenal untuk membantu rakyat menangani isu kos sara hidup antaranya memperkenalkan Ihsan Rahmah oleh pihak swasta dan industri.

Inisiatif lain ialah merancang pelaksanaan Pasar Rahmah dengan memperluas inisiatif Bazar Ramadan Rahmah sepanjang bulan Ramadan tahun ini di 60 lokasi di seluruh negara dan Kad Diskaun Khas Menu Rahmah serta Menu Siswa Rahmah.

SITI AISHAH MD ISA