fb fb fb fb fb

Dadah bernilai lebih RM1 juta dilupuskan di Melaka

FOTO MARITIM MELAKA DAN NEGERI SEMBILAN

TANJUNG MINYAK, 13 Mac- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) melupuskan dadah seberat 26 kilogram bernilai lebih RM1.04 juta dengan kerjasama MEDIVEST Sdn Bhd hari ini.

Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan Kepten Maritim Mohd Khairi Abd Aziz berkata, pelupusan dadah jenis syabu itu dilaksanakan selepas menerima perintah rasmi daripada mahkamah untuk dilucut hak setelah kes-kes berkaitan selesai dibicarakan.

"Dadah tersebut ialah hasil rampasan yang dilakukan oleh Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan pada 2022 dan ia dilupus dengan cara dibakar menggunakan insinerator yang diuruskan oleh syarikat tersebut (MEDIVEST).

"Kaedah itu dipilih kerana ia merupakan salah satu cara yang selamat dan berkesan untuk memusnahkan dadah yang dirampas tanpa mencemari alam sekitar," katanya dalam kenyataan.

Turut hadir Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Komander Maritim Norrimi Hassan; Timbalan Pengarah (Pengurusan) Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Raja Noorazmi Raja Ismail; dan Pengurus Kanan Sisa Penjagaan Kesihatan MEDIVEST Sdn Bhd, Nadiratul Noziana Abd Majid.

SITI AISHAH MD ISA