fb fb fb fb fb

Sultan Perak tegur khatib tidak ikut teks khutbah rasmi

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah / Foto Bernama

IPOH, 25 Februari – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menegur tindakan segelintir khatib yang tidak membaca teks khutbah yang disediakan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan diperakui oleh Jabatan Mufti.

Baginda bertitah perbuatan tersebut adalah keterlaluan dan tidak boleh dibiarkan, kerana ia boleh menyebabkan perpecahan dalam kalangan ummah.

"Berdiam diri umpama membiarkan barah menular lebih luas," titah baginda semasa Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertemakan ‘Pemerkasaan Integrasi Antara Fiqah dengan Tasawuf’ di Bandar Meru, di sini.

Sultan Nazrin menegaskan pemantauan rapi perlu dilakukan oleh pihak berkuasa agama, termasuk Majlis Agama Islam, Jabatan Agama Islam, dan Jabatan Mufti bersama Orang Besar Jajahan, jawatankuasa masjid dan surau serta ahli kariah.

"Masjid dan surau wajib dibersihkan daripada kegiatan orang yang tempang menyebarkan dakyah songsang," titah baginda.

Baginda turut menekankan pentingnya siasatan yang adil dan saksama terhadap mereka yang melanggar adab bekerja, dengan laporan dan keputusan pihak berkuasa perlu dipersembahkan kepada Raja Pemerintah untuk pertimbangan sewajarnya.

Dalam majlis tersebut, turut diadakan pelancaran buku karya Mufti Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh, bertajuk ‘Pengaruh Ahli Sunnah Wal Jamaah Dalam Pembangunan Ummah’ dan ‘Hubungan Antara Pemerintah dan Rakyat dalam Kerangka Ahli Sunnah Wal Jamaah’.

Selain itu, Menteri Wakaf Republik Arab Mesir, Syeikh Dr Usamah al-Sayyed Mahmood Muhammad Sa’ad al-Azhari, turut membentangkan kertas kerja utama dalam muzakarah itu.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN