fb fb fb fb fb

Malaysia teguh perkukuh hubungan antarabangsa tangani isu perubahan iklim

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 25 Februari-Malaysia kekal dengan pendirian untuk terus memperkukuhkan hubungan dengan negara-negara lain dalam menangani isu perubahan iklim.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa keputusan Amerika Syarikat untuk menarik diri daripada Perjanjian Paris baru-baru ini tidak akan menjejaskan pendirian Malaysia dalam memperkukuh kerjasama antarabangsa, khususnya dalam kalangan negara ASEAN.

"Sebagai Pengerusi ASEAN, saya melihat bahawa konsensus dalam ASEAN tidak berubah. Adakah kita mampu mempengaruhi dasar Amerika?

"Saya tidak fikir kita bercita-cita besar sampai ke tahap itu. Sebaliknya, saya akan memastikan hubungan dan jaringan sedia ada terus terpelihara," katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menyentuh mengenai pelantikan bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, yang disifatkan memainkan peranan besar, terutama dalam mempercepatkan projek Sungai Golok di Rantau Panjang, termasuk kerja-kerja pengorekan muara sungai tersebut.

Selain itu, Thaksin juga telah melawat selatan Thailand baru-baru ini dan memohon maaf atas insiden Tak Bai.

Beliau turut memberi jaminan akan bekerjasama dengan Malaysia bagi menyelesaikan isu di wilayah berkenaan secara aman dan adil.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD