fb fb fb fb fb

Kerajaan percepat projek tebatan banjir, peruntuk RM22.57 bilion

Foto Hiasan / Bernama

KUALA LUMPUR, 25 Februari – Kerajaan telah memperuntukkan RM22.57 bilion bagi melaksanakan 126 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di seluruh negara sebagai langkah proaktif menangani masalah banjir.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata daripada jumlah tersebut, 74 projek sedang dalam pelaksanaan, manakala 35 projek masih dalam fasa pra-pelaksanaan.

Katanya, Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok menjadi keutamaan, dengan pelaksanaan dipercepatkan bagi memastikan keberkesanan pengurusan banjir.

"Pengambilan tanah sebelum ini ambil masa lebih 24 bulan, tapi kerajaan beri jaminan akan diselesaikan dalam 6 bulan supaya kita boleh bergerak segera. Kemudian, kita percepatkan lagi. Kalau dulu, di Rantau Panjang, ada fasa satu, fasa dua, fasa tiga, tapi sekarang kita sekalikan semua tiga-tiga fasa itu, termasuk yang diselenggara oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), sebab ini libatkan rundingan kita dengan Sungai Golok, Rantau Panjang dan juga soal mengorek serta membersihkan muara Sungai Golok.

"Ini melibatkan kedua-dua kerajaan, Malaysia dan Thailand. Dengan percepatan ini, ada tambahan RM2 bilion, tapi dalam masa yang sama, bila kita percepatkan, penjimatan kos untuk ketiga-tiga fasa PLSB Sungai Golok adalah RM1.7 bilion," katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, di sini.

Selain itu, Anwar memaklumkan Tebatan Banjir Negeri Johor juga diberi keutamaan dengan RM1.64 bilion diperuntukkan bagi mempercepatkan proses pengambilan tanah dan pelaksanaan projek di Batu Pahat dan Ledang.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri turut menyatakan kepuasan terhadap pengurusan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), yang telah menyalurkan lebih RM200 juta kepada kerajaan negeri, termasuk Sabah dan Sarawak, yang baru-baru ini dilanda banjir.

"Langkah ini membuktikan komitmen kerajaan dalam mempercepatkan usaha menangani banjir dan membantu negeri-negeri yang terjejas," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN