fb fb fb fb fb

Kerajaan jamin RUU PSB tidak pinggirkan penduduk asal

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 25 Februari-Kerajaan memberi jaminan bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) merupakan pendekatan penting dalam mereplikasi pembangunan di bandar-bandar matang.
 
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia bagi memastikan perancangan bandar akan datang lebih mampan dan teratur di samping tidak meminggirkan penduduk asal.
 
Menurutnya konsep pembaharuan semula bandar berkenaan bukan sesuatu yang baharu, malah telah banyak dilaksanakan di beberapa negara luar.

"Tidak timbul sama sekali bahawa pemilik asal tanah setiap kaum akan diusir daripada pemilikan tanah atau premis secara paksaan. Malah status tanah yg asal kekal sama ada Rizab Melayu atau status kekal tidak akan berubah", katanya.

RUU PSB bertujuan membangunkan semula kawasan bandar sedia ada supaya lebih selesa untuk didiami dan membolehkan penduduk bekerja serta menggunakan pengangkutan awam.

Sementara itu, Perdana Menteri turut menegaskan bahawa Rang Undang-undang Pembaharuan Semula Bandar (PSB) telah dibangunkan selama lebih 10 tahun, tanpa sebarang cadangan bahawa pemilik tanah asal akan diusir secara paksa dari tanah atau premis mereka.

Tambahnya, status tanah asal, sama ada Tanah Rizab Melayu atau mana-mana status sedia ada, kekal tidak berubah.

"Sejak 2012, garis panduan dikemukakan pada 2013 diusulkan dan pada 2015, proses penggubalan dimulakan.

"Jadi kita tidak faham kenapa soal gopoh itu dibangkitkan. pada 2020, bekas Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa, mengetuai program pembaharuan ini, terutamanya rumah pangsa yang berumur lebih 40 tahun", katanya ketika menjawab pertanyaaan Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) yang dicadangkan kerajaan dan bakal dibentangkan di Dewan Rakyat pada Julai depan.

RUU itu bertujuan mengubah landskap bandar dengan membangunkan semula kawasan usang serta tidak teratur.

Dalam pada itu, Anwar turut menjelaskan nilai ambang persetujuan pemilik hartanah perlu diturunkan.

Jelasnya, bagi projek kurang 30 tahun nilai ambangnya diturunkan kepada 86 peratus. Sekiranya pemilik rumah bersetuju dan projek boleh dilaksanakan.

"Sebab itu, ada ambang persetujuan yang dicadangkan, kalau bangunan tu kurang 30 tahun,  80% kena setuju, baru dimulakan rundingan. Kalau 75 % bagi bangunan melebihi 30 tahun dan 51% majoriti mudah bagi rumah yang terbiar atau terbengkalai", katanya.

Tegasnya, ia salah satu cara yang boleh membantu membangunkan kediaman orang Melayu yang daif di tengah kota Kuala Lumpur tanpa menjejaskan hak mereka.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD