fb fb fb fb fb

Sultan Perak berkenan saksikan Program Melabuh Tukun Pulau Sembilan

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan menyaksikan proses melabuh tukun sempena Program Melabuh Tukun dan Konservasi Pulau Sembilan 2025 di Taman Negeri Pulau Sembilan/ BERNAMA

LUMUT, 20 Ogos - Sebanyak 12 tukun tiruan penghalang pukat tunda dilabuhkan di Pulau Rumbia, sempena Program Melabuh Tukun x Konservasi Pulau Sembilan 2025, anjuran Jabatan Perikanan Negeri Perak.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, berkenan berangkat menyaksikan program berkenaan di Taman Negeri Pulau Sembilan.

Sejak 2014, sebanyak 81 tukun tiruan telah dilabuhkan di Pulau Pangkor, Perairan Rungkup dan Kepulauan Sembilan, sekali gus menyokong sektor perikanan dan pelancongan negeri.

Program tersebut turut melibatkan pembersihan pukat hantu dengan kira-kira 500 kilogram dikeluarkan dari dasar laut, selain pameran hasil kutipan lima tan pukat hantu sejak 2022.

Dalam majlis sama, pasangan Diraja itu turut berkenan menanam pokok ambong-ambong bagi menggalakkan pendaratan penyu.

Program itu menjadi platform penyatuan usaha kerajaan, agensi penguatkuasaan, komuniti nelayan dan sukarelawan dalam memelihara khazanah marin Perak.

ROSLINA BINTI DIN