KUANTAN, 30 Mac- Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah menitahkan agar semua masjid di negeri itu melaksanakan Solat Istisqa bagi memohon diturunkan hujan dan Solat Hajat bagi mendoakan kesejahteraan rakyat.
Titah yang disampaikan melalui Jabatan Agama Islam Pahang itu, susulan fenomena El Nino yang melanda negara, khususnya negeri Pahang ketika ini.
Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman menerusi satu kenyataan berkata, Al-Sultan Abdullah turut menasihatkan rakyat Pahang agar minum air secukupnya, selepas berbuka puasa dan mengehadkan aktiviti di luar.
Rakyat juga diingatkan agar berjimat dalam penggunaan air dan segera berjumpa doktor sekiranya mengalami penyakit-penyakit kesan dari fenomena ini.
Khamis lalu, Al-Sultan Abdullah berkenan melakukan tinjauan udara bagi melihat paras air Sungai Pahang yang dilaporkan surut akibat fenomena El Nino.
Baginda juga telah dimaklumkan berhubung beberapa kejadian kebakaran hutan di Negeri Pahang berikutan fenomena tersebut.
Fenomena El-Nino menyebabkan cuaca menjadi panas dan kering yang boleh menyebabkan kesan sampingan dan risiko mengalami dehidrasi dan strok haba, malah, boleh menyebabkan krisis bekalan air, kebakaran hutan dan penyakit berkaitan jerebu.