LABUAN, 30 Mac- Enam buah pasar raya di Labuan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam menjayakan Program Jualan RAHMAH Mega Raya peringkat Labuan bagi tahun ini.
Program itu diadakan selama dua hari bermula hari ini dan esok bertempat di Dewan Arena Kampung Bukit Kuda dengan kesemua pasar raya tersebut menawarkan barangan keperluan harian dengan tawaran potongan harga berpatutan.
Timbalan Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Roziah Abudin berkata, selain Jualan RAHMAH yang diadakan setiap minggu di seluruh negara, program Jualan RAHMAH Mega Raya membawa lebih banyak pilihan barangan untuk pengguna sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang menjelang tiba.
"Ya betul, secara relatifnya harga (barangan) di Labuan ini lebih tinggi berbanding dengan tempat-tempat lain. Jadi kerana itu dengan usaha kerajaan menjalankan program-program jualan murah seperti ini dan juga menawarkan diskaun sudah tentunya ia dapat membantu.
"Mereka menunggu untuk membeli barang-barang keperluan yang jauh lebih murah daripada harga pasaran," katanya kepada pemberita pada program itu hari ini.
Program tersebut juga mendapat kerjasama daripada enam agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan Perbadanan (KPKM) Labuan.
Hadir sama, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr. Zaliha Mustafa yang juga sempat singgah ke program itu.
Jualan berlangsung bermula 10.00 pagi hingga 5.00 petang.