KUALA LUMPUR, 3 November - Beberapa bahagian Sungai Perak berhampiran Jambatan Kampung Sungai Papan, Gerik, dilaporkan bertukar warna kebiruan.
Sekali gus, menimbulkan kebimbangan penduduk terhadap kemungkinan berlakunya pencemaran air.
Ketua Pengarah Alam Sekitar, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, siasatan awal mendapati terdapat tiga aktiviti perlombongan di hulu sungai terbabit, masing-masing sebuah kilang pemprosesan unsur nadir bumi dan dua lombong bijih timah.
Jelasnya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) sedang menjalankan siasatan bersama Jabatan Mineral dan Geosains serta Jabatan Kimia Malaysia, termasuk pengambilan sampel air bagi tujuan analisis.
Punca sebenar perubahan warna air masih belum dikenal pasti dan berkemungkinan disebabkan tindak balas bahan kimia semula jadi dalam sungai, bukan semestinya akibat pelepasan terus dari kilang atau lombong.
Sementara itu, Khamis lalu, Pengarah JAS Negeri, Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh memaklumkan, sampel air telah dihantar ke makmal dan hasil siasatan akan dimaklumkan kepada orang ramai sebaik laporan selesai.