KUALA LUMPUR, 3 November – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menerapkan infrastruktur hijau dan penyelesaian berasaskan alam semula jadi dalam setiap projek tebatan banjir bagi memastikan keberkesanan kos serta manfaat langsung kepada rakyat.
Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata pendekatan tersebut dilaksanakan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM), termasuk pengaplikasian prinsip Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) dalam setiap reka bentuk sistem saliran dan kolam takungan.
“Sebagai contoh, empangan JPS bukan sahaja berfungsi sebagai mitigasi banjir, tetapi juga sebagai sumber bekalan air dan pengairan pertanian. JPS turut mengintegrasikan prinsip Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) dalam projek tebatan banjir, termasuk kolam takungan yang selain menakung air hujan turut direka sebagai tasik rekreasi dan kawasan hijau.
"Pendekatan ini menjadikan projek lebih kos efektif, mesra alam serta memberi manfaat langsung melalui rekreasi, peningkatan biodiversiti dan perlindungan banjir. Wetland Putrajaya adalah antara contoh kejayaan berkonsepkan pendekatan pembangunan yang selaras dengan alam semula jad,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man di Dewan Rakyat, hari ini mengenai langkah strategik kementerian dalam memastikan projek tebatan banjir lebih kos efektif, berdaya tahan dan memberi manfaat kepada rakyat.
PETRA turut memperluas konsep infrastruktur dwi-fungsi dengan menjadikan kolam takungan berperanan mengurangkan risiko banjir serta dimanfaatkan sebagai sumber air ketika musim kering.
Antara projek berkaitan ialah di Krubong–Durian Tunggal, Melaka dan Sungai Klang–Sungai Rasau, Selangor.
Tegas Akmal, kerajaan melalui PETRA sedang memperluas pelaksanaan Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) bagi memastikan pembangunan lebih terancang, mapan dan mampu mengurangkan risiko banjir kilat serta pencemaran.