fb fb fb fb fb

JKMU: RM1.1 juta jualan direkodkan dalam tempoh Januari-Mac 2024

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ramanan Ramakrishnan/BERNAMA

SUNGAI BULOH, 30 Mac- Program Jualan MADANI Koperasi dan Usahawan (JKMU) merekodkan jualan sebanyak RM1.1 juta sepanjang Januari sehingga 26 Mac tahun ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ramanan Ramakrishnan berkata ia melibatkan 38 koperasi yang dilantik menerusi 13 JKMU yang telah dilaksanakan di 12 kawasan Parlimen seluruh negara.

Beliau berkata JKMU merupakan bantuan kerajaan kepada rakyat khususnya golongan B40, dengan barang-barang keperluan asas harian dijual pada harga yang murah berbanding harga pasaran melalui rangkaian peruncitan koperasi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah mendapat kerjasama 12 operator koperasi untuk terlibat dalam program JMKU yang menawarkan harga barangan keperluan asas harian dengan potongan harga bermula 30 hingga 50 peratus.

"Saya akan bekerjasama dengan SKM juga untuk membawa lebih banyak jualan koperasi ke Sungai Buloh. Kami membuat satu target kalau kita boleh, satu bulan sekali dan subsidi tersebut akan dibiayai sepenuhnya oleh saya", katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jualan Madani Koperasi dan Usahawan sempena Aidilfitri di Sungai Buloh pagi tadi.

Katanya, sebanyak 10,000 pengguna di sekitar Parlimen Sungai Buloh bakal menikmati manfaat tersebut.

Ramanan berkata, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan meneruskan siri program JMKU di seluruh negara tahun ini dengan penglibatan koperasi dan usahawan.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, sebanyak 178,498 pengguna telah menerima manfaat daripada RM1.81 juta insentif yang disediakan oleh kerajaan menerusi JKMU sepanjang tahun 2023.

Jumlah itu melibatkan pelaksanaan 85 siri jualan JMKU di seluruh negara, dengan sembilan prestasi jualan yang direkodkan berjumlah hampir RM7.14 juta.

ROSLINA BINTI DIN