fb fb fb fb fb

Sultan Pahang puas hati penganjuran Kembara Pahang 1.0

Foto Facebook Kesultanan Pahang

PEKAN, 23 April – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa puas hati terhadap penganjuran program Kembara Pahang 1.0 yang berlangsung selama tiga hari dan berakhir hari ini.

Titah baginda, program berkenaan telah mencapai matlamatnya dalam merapatkan hubungan antara rakyat dan institusi diraja menerusi pelbagai pengisian bermakna.

Sehubungan itu, baginda menyarankan agar program tersebut diteruskan dengan perancangan lebih sistematik pada masa akan datang, khususnya bagi mendekati semua lapisan masyarakat termasuk penduduk kampung tradisional.

“Kita akan kaji dulu post-mortem seperti yang saya sebut sebelum ini. Kita akan perbaiki lagi program ini.

"Kita tidak mahu rakyat menunggu terlalu lama dan sebagainya. Insya-Allah, saya akan pergi ke daerah-daerah lain,” titah baginda demikian semasa Majlis Penutupan Kembara Pahang 1.0 yang berlangsung di Pantai Lagenda, di sini.

Turut berangkat menyertai kembara tersebut ialah Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Program Kembara Pahang 1.0 yang bermula pada 21 April lalu telah merentasi empat daerah iaitu Maran, Temerloh, Bera dan berakhir di Pekan, dengan pelbagai pengisian yang melibatkan interaksi bersama rakyat di setiap lokasi.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD