fb fb fb fb fb

Sultan Pahang murka, titah noktah pencerobohan tanah

Sultan Pahang, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah/Foto BERNAMA

KUANTAN, 18 April – Sultan Pahang, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah menzahirkan sokongan penuh terhadap tindakan tegas Kerajaan Negeri dalam membanteras aktiviti pencerobohan tanah secara haram di negeri itu sejak lebih empat dekad lalu.

Titah baginda, pencerobohan lebih 14,000 hektar tanah kerajaan bagi tujuan tanaman sawit, getah, durian dan hasil bumi lain adalah satu bentuk “rompakan terbuka terhadap harta kerajaan”, yang wajib dinoktahkan segera.

“Beta ingin menegaskan bahawa tidak akan ada sebarang kelulusan baharu oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi mana-mana permohonan tanah yang telah diceroboh secara haram.

"Ini adalah prinsip yang tidak boleh dikompromi, demi menjunjung kedaulatan undang-undang,” titah baginda ketika menyempurnakan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Baginda turut mengingatkan pentadbir tanah di semua peringkat agar tidak sesekali tunduk kepada mana-mana pihak yang cuba memperjuangkan pencerobohan atas nama kebajikan atau rakyat.

Jelas baginda, tindakan sedemikian bukan sahaja mencemar imej institusi kerajaan, malah turut menjejaskan kedaulatan pentadbiran negeri.

Sebagai langkah pencegahan dan pemulihan, baginda menyeru agar badan-badan penguat kuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) diberikan ruang sepenuhnya untuk melaksanakan tugas tanpa gangguan.

“Beta tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana individu yang cuba mengganggu, menghalang atau mencabar kuasa penguat kuasa dan penjawat awam semasa menjalankan tugas,” titah baginda lagi.

Turut berangkat ke istiadat berkenaan ialah Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

GRACE AISYAH KEDAYAN