BAYAN LEPAS, 18 April – Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menjalankan siasatan terhadap seorang guru lelaki yang didakwa menghantar pautan lucah kepada rakan sekerja wanita di Johor, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Menurut beliau, KPM tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk salah laku membabitkan warga pendidik, terutamanya kesalahan berkaitan salah laku seksual.
“Siasatan sedang kita laksanakan. Tapi seperti biasa, saya ulang dengan tegas, KPM tidak berkompromi dengan apa-apa kesalahan, khususnya kesalahan seksual. Seperti yang saya selalu sebut, you touch, you go,” tegasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Smartboard dan Pengisytiharaan 100 Peratus Penajaan Smartboard bagi Sekolah-Sekolah Negeri Pulau Pinang di Sekolah Menengah Kebangsaan Bayan Lepas, hari ini.
Jelas Fadhlina lagi, siasatan akan dijalankan secara menyeluruh berdasarkan garis panduan dan peraturan sedia ada yang ditetapkan kementerian.
“Penegasan telah pun kita buat berulang kali dan kita akan teruskan penegasan itu dari semasa ke semasa,” tambahnya.
Terdahulu, pada Rabu lalu, seorang guru lelaki telah direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menghantar pautan lucah kepada rakan sekerja wanita.
Penahanan dibuat selepas mangsa tampil membuat pendedahan mengenai perlakuan tidak senonoh suspek.