fb fb fb fb fb

Myanmar komited teruskan gencatan senjata, Malaysia sedia bantuan kemanusiaan- PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) mengadakan sidang akhbar sempena lawatan kerja dua hari ke Bangkok, Thailand/ BERNAMA

BANGKOK, 18 April- Pentadbiran Myanmar menunjukkan komitmen untuk melanjutkan gencatan senjata bagi membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan tanpa halangan ke seluruh negara itu, susulan gempa bumi hujung bulan lalu.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata jaminan itu hasil pertemuan secara berasingan beliau bersama Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara Myanmar (SAC), Jeneral Kanan Min Aung Hlaing dan perbualan bersama Pemimpin Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG), Mahn Win Khaing Than.

Menurutnya, perkembangan itu adalah satu langkah positif dalam meredakan konflik dan membuka ruang kepada usaha damai yang lebih menyeluruh.

"Saya lihat ada kecenderungan sekarang untuk meneruskan gencatan senjata, kerana itu juga prasyarat untuk semua bantuan kemanusiaan, tetapi mereka sebut peristiwa letupan itu berlaku dan sebagainya. Kita berharap dapat ditangani dengan baik", katanya pada sidang media, hari ini, selepas mengakhiri lawatan kerja ke Thailand. 

Perdana Menteri juga memaklumkan Malaysia telah memulakan langkah dengan menghantar pasukan Pasukan Khas Bantuan dan Menyelamat Bencana Malaysia (SMART) dan bersedia menubuhkan sebuah Hospital Medan di Myanmar, yang telah mendapat persetujuan pihak SAC.

Terdahulu, Datuk Seri Anwar telah mengadakan dua pertemuan penting bersama Jeneral Min Aung Hlaing semalam, dan satu lagi awal pagi ini bersama pemimpin NUG, Mahn Win Khaing Than.

Perdana Menteri menjelaskan, pertemuan dengan SAC tertumpu kepada keperluan mendesak bantuan kemanusiaan serta pembinaan semula Myanmar.

Sementara, bersama Perdana Menteri NUG, Datuk Seri Anwar telah mengadakan perbualan telefon kerana tidak dapat hadir ke Bangkok atas faktor keselamatan.

Beliau menyifatkan rundingan awal bersama kedua-dua pihak sebagai satu permulaan yang berjaya dan akan segera memaklumkan hasilnya kepada rakan-rakan pemimpin ASEAN.

"ASEAN mahu perdamaian disegerakan, ASEAN mahu bantu untuk membangunkan semula Myanmar dan ASEAN mahu, kalau boleh Myanmar kembali bersama", katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Malaysia turut menyambut baik langkah pentadbiran Myanmar membebaskan 4,800 tahanan politik sebagai isyarat positif terhadap usaha damai ASEAN.

Datuk Seri Anwar juga memberi jaminan bahawa rundingan akan diteruskan bersama semua pihak bagi mencari penyelesaian jangka panjang demi kestabilan Myanmar dan kesejahteraan rakyat.

ROSLINA BINTI DIN