fb fb fb fb fb

Pulau Pinang catat 100 peratus penajaan "Smartboard" di semua sekolah

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek / Foto Bernama

BAYAN LEPAS, 18 April – Kesemua 396 buah sekolah di seluruh negeri Pulau Pinang kini telah dilengkapi dengan peranti pembelajaran interaktif “Smartboard”, sekali gus menandakan pencapaian 100 peratus penajaan teknologi tersebut bagi sekolah-sekolah di negeri itu.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata inisiatif tersebut diyakini mampu memperkasakan keupayaan guru dalam menyediakan pembelajaran yang lebih berkualiti serta meningkatkan keberkesanan pengajaran di dalam bilik darjah.

Menurut beliau, penggunaan Smartboard bukan sahaja memperkenalkan elemen interaktif dalam sesi pembelajaran, malah turut membantu meningkatkan tumpuan dan penglibatan murid dalam kelas.

“Antara maklum balas yang diterima daripada guru ialah penggunaan Smartboard ini sangat membantu kerana sifatnya yang interaktif. Konsep ini penting kerana ia melibatkan penyertaan murid secara aktif, sekali gus menyerlahkan potensi mereka dalam sesi pembelajaran,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Smartboard dan Pengisytiharan 100 Peratus Penajaan SmartBoard Bagi Sekolah-Sekolah Negeri Pulau Pinang yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Bayan Lepas, di sini hari ini.

Tambah Fadhlina, peningkatan penggunaan pelantar pembelajaran digital, DELIMa turut dapat dilihat seiring dengan pengenalan Smartboard.

“Apabila guru menggunakan Smartboard, kita dapati pelantar DELIMa turut digunakan secara maksimum sebagai medium utama pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas,” ujarnya.

Inisiatif tersebut merupakan antara langkah proaktif Kementerian Pendidikan dalam mendukung agenda digitalisasi pendidikan dan memastikan akses kepada teknologi pembelajaran terkini dapat dinikmati secara menyeluruh oleh warga pendidik dan pelajar di seluruh negara.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN