fb fb fb fb fb

Isu Jalur Gemilang: Simbol kedaulatan, tidak boleh dipandang ringan- PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan sidang akhbar sempena lawatan kerja dua hari beliau ke Bangkok, Thailand, hari ini/ BERNAMA

BANGKOK, 18 April- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa isu melibatkan bendera negara tidak boleh dipandang ringan, kerana ia merupakan simbol kedaulatan dan maruah negara.

Beliau memberi peringatan agar semua pihak berhati-hati dan tidak mengambil mudah sebarang kesilapan yang melibatkan Jalur Gemilang.

Bagaimanapun, Perdana Menteri menegaskan bahawa siasatan perlu diteruskan mengikut proses undang-undang yang sewajarnya, tanpa tekanan atau tindakan berlebihan.

"Untuk mana-mana negara pun, soal bendera itu simbol yang sangat penting. Jadi, saya nasihatkan supaya kita berhati-hati, tapi tentulah bagi ruang Sin Chew memberi penjelasan atas kesilapan dan memohon maaf.

"Tetapi, ini bukan soal ringan, biarlah proses undang-undang. Tapi, saya juga beritahu supaya jangan nampak kita nak berlebih-lebihan, hanya semata-mata kerana tuntutan, dia kena ikut proses undang-undang", tegas Datuk Seri Anwar dalam sidang media di sini.

Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa dijangka menjalankan siasatan lanjut terhadap kes tersebut, dengan mengambil kira penjelasan yang akan dikemukakan oleh pihak akhbar terbabit.

ROSLINA BINTI DIN