fb fb fb fb fb

Malaysia akan tarik balik pasukan perubatan di Myanmar jika terancam

Mohamad Hasan (kanan) ketika ditemui media di Tapah, Perak/ Foto RTM

TEMOH, 18 April- Malaysia bersedia menarik balik pasukan perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari Myanmar sekiranya keselamatan mereka terancam.

Tegas Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Malaysia tidak akan berkompromi dalam aspek keselamatan pegawai dan anggota yang dihantar.

"Malaysia telah mendapat ‘green light’, dan saya sendiri telah meminta pihak Myanmar supaya ‘stand down’. Jangan ketika negara sedang menghadapi bencana, mereka masih mahu bergaduh.

"Sekiranya saya mendengar atau didapati wujud isu-isu yang boleh memudaratkan keselamatan pasukan kita, kita tidak akan teragak-agak untuk menarik balik pasukan tersebut.

"Saya juga telah memaklumkan perkara ini kepada rakan sejawat di ASEAN dan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), 'we will pull out'. Jadi, jangan sekali-kali mereka mengabaikan keselamatan pasukan kita," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian selepas turun berkempen bersama Calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir di Tapah, Perak.

Mohamad turut menegaskan, misi kemanusiaan itu bukanlah pengiktirafan terhadap kerajaan Myanmar sedia ada, sebaliknya ia dilaksana demi membantu rakyat negara itu yang sedang bergelut kemusnahan besar.

Dalam pada itu, Mohamad berkata Jawatankuasa Perundingan Bersama Malaysia-China akan ditubuh bagi menyelaras dan memantau pelaksanaan Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua negara.

Ke arah itu, setiap kementerian terlibat akan dikehendaki mengemukakan laporan suku tahunan kepada Kementerian Luar, untuk memastikan keberkesanan MoU yang ditugaskan.

Jelasnya, sebilangan besar MoU antara Malaysia-China melibatkan pelbagai kementerian dan sektor.

Justeru, koordinasi antara agensi amat penting.

"Jadi, kita mesti ada satu koordinator. Saya dan rakan sejawat dari negara China nanti akan memastikan bahawa kita menandatangani banyak perkara, tetapi persoalannya ialah bagaimana pelaksanaannya, bagaimana kita patuhi, dan bagaimana mereka patuhi. Kita tidak mahu hanya menandatangani dokumen, tetapi tiada sebarang tindakan selepas itu.

"Kita akan minta supaya setiap kementerian melaporkan kepada Kementerian Luar setiap tiga bulan sekali, dan Kementerian Luar akan membentangkannya kepada kabinet sebagai laporan status kepada kerajaan," katanya.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM