BAKU (Azerbaijan), 16 November - Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Pembangunan Telekomunikasi Sedunia 2025 (WTDC-25) yang berlangsung mulai Ahad sehingga 19 November.
Persidangan anjuran Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) dengan Azerbaijan sebagai tuan rumah itu bertemakan "Universal, Meaningful and Affordable Connectivity for an Inclusive and Sustainable Digital Future".
Persidangan tersebut dijangka menghimpunkan lebih 1,500 peserta termasuk ketua negara, menteri dan delegasi kanan dari seluruh dunia.
Datuk Fahmi dijadual menyampaikan kenyataan Malaysia pada sesi peringkat tinggi persidangan berkenaan pada Selasa.
Beliau dijangka mengadakan beberapa mesyuarat dua hala dengan rakan sejawat dari Azerbaijan, Bahamas, Brazil, Bulgaria, India, Iran, Samoa, Afrika Selatan, Uganda dan Uzbekistan.
Selain itu, beliau juga akan menyaksikan pertukaran dokumen memorandum persefahaman (MoU) antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Agensi Telekomunikasi Nasional Brazil (ANATEL).
Datuk Fahmi turut dijadual menghadiri Majlis Makan Malam Sambutan Ketua Delegasi Negara Ahli ITU dan bertemu komuniti Malaysia di Azerbaijan.
Penyertaan beliau dalam WTDC-25 merupakan sebahagian daripada usaha Malaysia mengekalkan kerusi sebagai ahli Majlis ITU bagi penggal 2027–2030.
Pada Persidangan Peringkat Tinggi World Summit on the Information Society+20 (WSIS+20) di Geneva pada 9 Julai lepas, Datuk Fahmi secara rasmi mengumumkan pencalonan Malaysia untuk pemilihan semula ke majlis tersebut, sekali gus menekankan komitmen negara terhadap peranan aktif dalam organisasi itu.
Malaysia kini merupakan ahli Majlis ITU bagi penggal 2023–2026, yang membolehkan negara terlibat dalam pembentukan dasar strategik serta mewakili kepentingan rantau Asia dalam pembangunan telekomunikasi dan infrastruktur digital.
ITU merupakan agensi khusus Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dalam bidang telekomunikasi dan teknologi digital, bertanggungjawab memperuntukkan spektrum frekuensi radio, membangunkan piawaian antarabangsa serta merapatkan jurang digital di seluruh dunia.