fb fb fb fb fb

Tempoh 109 tahun bukti semangat berpasukan dan kebersamaan PPPM

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail

KUALA LUMPUR, 16 November - Keutuhan Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) yang memasuki usia 109 tahun menjadi bukti kukuh semangat kebersamaan dan kerja berpasukan yang terus subur dalam organisasi itu.

Yang Dipertua PPPM Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan tempoh lebih seabad itu sebagai pencapaian membanggakan bagi sebuah persatuan yang digerakkan sepenuhnya oleh wanita.

"109 tahun bukanlah tempoh yang singkat. Namun, apa yang lebih penting ialah makna di sebalik perjalanan panjang itu. Kita boleh berbangga dengan segala yang telah ditempuh oleh Pandu Puteri sepanjang 109 tahun ini.

"Persoalannya, apa pula ertinya bagi masa depan, khususnya kepada generasi muda dan para remaja perempuan yang bakal menjadi pemimpin hari esok?

"Sepanjang tempoh ini, kita telah belajar bahawa untuk sesebuah organisasi bertahan begitu lama, ia memerlukan ketahanan, semangat dan kekuatan yang konsisten. Itulah roh yang menghidupkan setiap usaha kita. Roh yang terus kekal merentasi masa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Ulang Tahun PPPM ke-109 dan Pelancaran Kumpulan Advokasi Remaja Wanita, di ibu negara.

PPPM berjaya memainkan peranan penting dalam membentuk keperibadian dan akhlak wanita muda, selain menjadi platform untuk menyokong pengukuhan bakat serta asas kepemimpinan generasi baharu wanita.

Majlis turut menyaksikan pelancaran 'Girl Guide Cookies 2025', salah satu program advokasi tradisi PPPM yang menghimpunkan sokongan masyarakat melalui sumbangan derma. Acara berlangsung dengan penyertaan kepimpinan serta ahli PPPM dari 18 cawangan seluruh negara.

Sambutan 109 tahun PPPM sekali lagi memperlihatkan bahawa Pandu Puteri kekal relevan dan berupaya mendepani cabaran semasa melalui pendekatan inklusif, progresif dan selari dengan pembangunan negara.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI