BANGKOK, 17 April- ASEAN menolak sebarang bentuk tarif yang dikenakan secara unilateral susulan perkara itu dilihat bercanggah dengan semangat multilateralisme.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pendirian itu ketika mengulas berhubung tindakan Amerika Syarikat (AS) yang mengenakan tarif ke atas negara-negara Asia Tenggara, termasuk Malaysia.
Perdana Menteri berkata, beliau mendapat peluang mebincangkan hal berkenaan bersama rakan sejawatan dari Thailand, Paetongtarn Shinawatra ketika lawatan kerja selama dua hari ke negara jiran itu.
"Kita membina konsensus ASEAN. Nombor satu, sudah tentu, ASEAN adalah untuk perdagangan bebas, untuk multilateralisme.
"Jadi, kami mengambil pendirian bahawa kami tidak bersetuju dengan sebarang pengenaan dan tarif unilateral yang bertentangan dengan semangat pengaturan pelbagai hala. Jadi, itu adalah konsensus," katanya.
Perdana Menteri turut berkongsi bahawa beliau telah berunding secara langsung dengan kesemua pemimpin ASEAN, termasuk Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba dan Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon untuk merangka strategi bersama berdepan ketegangan perdagangan global.
Rundingan dua hala akan diteruskan oleh Menteri Perdagangan ASEAN di Washington, termasuk penyertaan Thailand dan Malaysia, untuk menyampaikan pendirian bersama ASEAN dengan lebih tegas.
Pada 3 April lalu Amerika Syarikat mengumumkan tarif minimum sebanyak 10 peratus ke atas semua negara bawah dasar perdagangan dan tarif timbal balas.
Negara-negara Asia Tenggara, khususnya Indo-China, paling terkesan dengan Kemboja, Laos, Vietnam dan Myanmar antara yang menerima kadar tarif tertinggi, mencecah sehingga 49 peratus.
Malaysia turut terkesan dengan kadar tarif 24 peratus, sama seperti Brunei.
Thailand dikenakan tarif sebanyak 36 peratus, manakala Indonesia 32 peratus dan Singapura pada kadar minimum 10 peratus.
Namun begitu, ASEAN termasuk Malaysia mengambil pendekatan tidak bertindak balas terhadap tindakan tersebut, sebaliknya memilih rundingan sebagai jalan penyelesaian.
Bagaimanapun tarif tersebut digantung selama 90 hari kecuali ke atas China, namun ASEAN sepakat untuk terus memperjuangkan perdagangan adil dan terbuka di rantau ini.