KUANTAN, 18 April- Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah menitahkan Kerajaan Negeri segera mengambil tindakan lebih berani dalam membasmi penularan ajaran sesat di negeri Pahang.
Baginda bertitah demikian selepas menzahirkan kebimbangan berhubungan penyelewengan akidah dan syariah, terutama menerusi medium digital.
Tindakan segera perlu dilaksana oleh pihak bertanggungjawab dengan merangka pelbagai program dakwah komprehensif dan inklusif.
"Beta berharap, agar pentadbiran kerajaan beta, mengambil langkah lebih proaktif dan berani dalam memberikan pendedahan dan kefahaman yang tepat kepada masyarakat tentang ancaman ini.
"Jangan sampai akidah ummah dipermainkan dan kesucian Islam dinodai oleh tangan yang tidak bertanggungjawab," katanya.
Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini.
Baginda turut mengingatkan rakyat agar menyemak dan menapis sumber ilmu agama yang diperoleh selain tidak merujuk laman sosial sebagai medan tauliah.
Dalam pada itu, Kerajaan Negeri jga diseru menyediakan peruntukan sewajarnya bagi merealisasikan penggunaan sistem kecerdasan buatan (AI) dalam sistem perundangan syariah negeri.
Sistem berkenaan membolehkan mahkamah berkerja secara cekap dan berkualiti selain menggambarkan Islam sebagai agama progresif dan berdaya saing.
Dalam perkembangan sama, baginda memaklumkan kompleks Mahkamah Syariah meliputi Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rendah Syariah akan dibina di Temerloh pada Mei tahun ini melalui peruntukan RM20 juta yang disalurkan Kerajaan Negeri.
Pembinaan itu dijangka siap dalam tempoh dua tahun lagi.
Turut berangkat ke mejlis itu Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.