fb fb fb fb fb

Liqa Mahabbah perkukuh jalinan dakwah korporat, kerajaan

Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar

BANGI, 18 April- Usaha dakwah tidak boleh lagi dilakukan secara bersendirian, sebaliknya memerlukan penyertaan pelbagai pihak sebagai rakan strategik bagi memastikan keberkesanan dan impak yang lebih menyeluruh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, pendekatan dakwah juga perlu seiring dengan peredaran zaman, bersifat interaktif dan relevan dengan keperluan masyarakat masa kini.

Justeru penganjuran program Liqa Mahabbah merupakan usaha memperkukuh ukhuwah serta mempererat silaturahim antara agensi-agensi Islam termasuk sektor kerajaan dan korporat di negara ini.

"Lembaga hasil dan negeri, mengambil falsafah sama dengan memberikan sumbangan kepada golongan memerlukan. Alhamdulillah Allah tunjukkan hasil percukaian meningkat sebab berkat daripada kita memudahkan urusan orang lain, membantu orang-orang yang susah.

"Hubungan yang rapat ini membolehkan syarikat-syarikat korporat terus memberikan sumbangan. Mereka ada kekuatan kewangan dan dana wakalah zakat dapat digunakan untuk tujuan kebajikan dan dakwah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama Program Liqa Mahabbah Sekretariat Dakwah Korporat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif syarikat korporat Malaysia dan wakil tetap Sekretariat Dakwah Korporat (SDK) JAKIM Tahun 2025 di sini.

Menurut beliau, pendekatan dakwah juga perlu seiring dengan peredaran zaman, bersifat interaktif dan relevan dengan keperluan masyarakat masa kini.

Konsep Majlis santai silaturahim Aidilfitri turut menjadi platform bagi membincangkan perancangan strategik dan pelaksanaan program dakwah korporat serta inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) secara lebih tersusun dan bersepadu.

Dengan penglibatan aktif syarikat korporat, diharapkan usaha memperkasa institusi masyarakat Malaysia MADANI dapat terus diperkukuhkan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI