PUTRAJAYA, 18 April- Kenyataan memperlekeh kemampuan ekonomi Malaysia disifatkan sebagai cerminan sikap angkuh dan jahil, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jelas Anwar, ia juga menunjukkan sesetengah individu di barat masih terperangkap dalam cara fikir kolonial dan imperialis.
"Tentunya dia tidak ada kefahaman sama sekali tentang Asia, tentang ASEAN, tentang perkembangan baru dan ini yang kita sebut dalam bidang ilmu sains sosial sebagai pemikiran yang terperangkap.
"Pemikiran yang terbawa bawa-bawa dengan sikap imperialis dan penjajahan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Kementerian Kewangan di sini, hari ini.
Tambah beliau, kenyataan itu tidak mewakili pandangan majoriti.
Malah, Malaysia perlu terus membuktikan kemajuan dan keupayaannya di peringkat antarabangsa.
Sebelum ini, tular satu klip video memaparkan pengulas politik kanan Amerika Syarikat memperlekeh lawatan Presiden China ke Malaysia dan merendahkan ekonomi negara.