fb fb fb fb fb

Sultan Nazrin lancar buku dokumentasi kemajuan ekonomi, sosial dan institusi selepas fasa kolonial

Sultan Nazrin ketika melancarkan buku 'Chronicling Themes in the Economic and Social History of Malaysia' di ibu negara/ Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 2 Disember - Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan melancarkan buku baharu yang mendokumentasikan kemajuan ekonomi, sosial dan institusi negara sepanjang hampir tujuh dekad selepas berakhirnya pentadbiran kolonial.

Bertajuk 'Chronicling Themes in the Economic and Social History of Malaysia', buku itu disunting dan disertakan kata penghantar oleh baginda Sultan Perak.

Naskhah tersebut menghimpunkan 35 bab yang ditulis oleh sarjana terkemuka merangkumi sejarah Malaysia berbilang kaum dan budaya, serta menelusuri perjalanan negara daripada ekonomi berpendapatan rendah kepada hampir berpendapatan tinggi.

Selain itu, naskhah ini turut membincangkan isu dasar awam dan impaknya terhadap kesejahteraan.

Sultan Nazrin dalam titahnya menyatakan salah satu pengajaran penting daripada sejarah negara ialah tanpa keharminian sosial, negara berisiko menghadapi konflik dan menjejaskan usaha mencapai kemakmuran.

Baginda turut menekankan usaha berterusan perlu diperkukuh untuk memupuk keterangkuman dan integrasi dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

MASNIZA AWANG KECHIK