fb fb fb fb fb

Banjir: Empat sekolah di Terengganu masih ditutup

Program pembersihan pasca banjir di SK Kedai Buluh, Kuala Terengganu/RTM

KUALA TERENGGANU, 2 Disember - 2,479 murid di Terengganu masih tidak dapat meneruskan sesi persekolahan berikutan empat sekolah masih ditutup akibat banjir.

Kesemua mereka melalui Pengajaran dan Pembelajaran di rumah (PdPR) bermula Ahad lalu.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) Kamsah @Kamal Mohamed berkata, Sekolah Kebangsaan (SK) Kepong dan Kampung Bukit ditutup kerana dinaiki air.

Manakala SK Atas Tol Kuala Terengganu dan Paya Resak Marang dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Di Terengganu 16 sekolah ditutup sebelum ini kerana banjir manakala 48 lagi beroperasi sebagai PPS.

Kamsah turut memaklumkan, banjir kali ini agak luar biasa kerana ada sekolah yang tidak tersenarai namun turut ditenggelami banjir.

"Yang itu kita akui terutama di kawasan Bukit Payong, Marang agak luar biasa kali ini. Jadi ada sekolah-sekolah sebelum ini yang tidak berlaku kenaikan air dan tidak terkesan dengan banjir dijadikan PPS.

Jadi kesiapsiaga kita di Jabatan Pendidikan Negeri dan KPM pun sentiasa menghubungi kita untuk mengambil langkah yang sepatutnya ketika Monsun Timur Laut ini", katanya.

Beliau ditemui selepas program pembersihan pasca banjir di SK Kedai Buluh, Kuala Terengganu yang turut disertai Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, Wan Suhaini Wan Mohamad.

Hampir 100 kakitangan JPNT dan MKN membantu membersihkan sekolah berkenaan.

WAN ROSMA BT RAMLI