DUNGUN, 2 Disember – Penduduk di Kampung Minda, Hulu Dungun, mahu pihak berkuasa mengambil tindakan segera susulan seekor gajah liar yang didakwa sering muncul di kawasan kediaman mereka.
Masalah berlarutan sejak sekian lama menyebabkan penduduk yang mengusahakan kebun terpaksa menanggung kerugian selepas tanaman mereka dimusnahkan haiwan berkenaan.
Menurut penduduk yang juga pekebun, kehadiran gajah liar ke kampung mereka empat hari lalu telah memusnahkan pelbagai jenis tanaman seperti pisang.
Meskipun banyak aduan telah dibuat, sehingga kini masih belum ada sebarang tindakan daripada pihak yang bertanggungjawab dan mereka kini terus menanggung kerugian.
Seorang penduduk, Shamsudin Khalid, meluahkan kekecewaan beliau apabila hasil kebunnya musnah.
"Malam tadi kebun yang sebelah, dan kebun seorang rakan musnah. Memang kecewa dan sedih. Usaha kita sejak sekian lama dengan hasil yang tidak seberapa", katanya.
Nada yang sama turut diluahkan oleh seorang pekebun, Mohamad Nordin Samad.
"Usaha yang tidak ada kesudahan yang terpaksa ditanggung oleh orang kampung. Contohnya, ada kalangan mereka yang menanam tanaman selama empat bulan,tak sempat merasa hasil", luah beliau sedih.
Pekebun kini berdepan kesukaran untuk terus mengusahakan tanaman berikutan bimbang haiwan liar itu akan kembali semula pada bila-bila masa.
Sementara itu, ADUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman apabila dihubungi memaklumkan, operasi menangkap gajah berkenaan sebelum ini berdepan kesukaran khususnya bagi mengesan lokasi kedudukannya.
Pihaknya akan turut mengadakan perbincangan bersama pihak berkaitan dan meminta penduduk supaya menyalurkan maklumat sekiranya ia muncul di kawasan kebun milik mereka.