KUALA LUMPUR, 20 Mei- Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, yang juga Canselor Universiti Malaya (UM), berkenan menyampaikan anugerah pada Anugerah Cemerlang Universiti Malaya (ACUM) 2024.
Baginda berkenan menyampaikan anugerah kepada para penerima yang terdiri daripada warga universiti, pusat penyelidikan, dan badan korporat UM.
Ini termasuk anugerah utama ACUM 2024, iaitu Anugerah Tokoh Akademik UM yang diberikan kepada Pensyarah Jabatan Bahasa Inggeris, Fakulti Bahasa dan Linguistik, Profesor Dr. Stefanie Shamila Pillai.
Profesor Dr. Stefanie Shamila merupakan warga Malaysia pertama yang mendokumentasi dan mengarkibkan bahasa terancam di Malaysia, iaitu bahasa Portugis Melaka melalui Program Dokumentasi Bahasa Terancam.
Seramai 59 penerima diraikan dalam ACUM 2024 yang merangkumi 45 kategori anugerah sebagai penghargaan terhadap pencapaian cemerlang mereka.
Selain itu, majlis tersebut turut mengiktiraf rakan kerjasama yang telah memberikan sumbangan signifikan dalam memperkukuh reputasi universiti berkenaan.
Sementara, Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman berkata ACUM merupakan manifestasi penghargaan tertinggi Universiti kepada warga UM yang telah menunjukkan pencapaian luar biasa dalam bidang masing-masing.
"UM tidak hanya berperanan sebagai universiti penyelidikan, tetapi juga sebagai peneraju penelesaian strategik yang memberi impak kepada negara dan dunia," katanya.
Beliau berucap pada Majlis ACUM 2024 yang diadakan di Dewan Tunku Canselor, UM, di sini, hari ini.