fb fb fb fb fb

'Abah pergi tempat sangat baik'- Anak reda pemergian bapa

Anis Nasuha Abdullah, Anak sulung allahyarham

PASIR MAS, 20 Mei – Keluarga jemaah haji Malaysia, Allahyarham Abdullah Mat 59 tahun yang meninggal dunia di Tanah Suci, Makkah semalam reda dengan pemergian allahyarham.

Anak sulung allahyarham, Anis Nasuha Abdullah mengakui biarpun masih terkejut dengan berita tersebut, namun beliau sekeluarga menerima berita itu dengan hati yang terbuka.

"Adik-beradik semua reda, mak saya pun reda. Semua okey. Insya-Allah, abah pergi ke tempat yang sangat baik," katanya ketika ditemui RTM di kediaman keluarganya di sini.

Anis turut memaklumkan bahawa allahyarham bapanya tidak mempunyai sebarang rekod penyakit dan berada dalam keadaan sihat ketika berangkat menunaikan ibadah haji bersama isterinya, Sharifah Hasan, 57, pada 11 Mei lalu.

Sementara itu, abang Allahyarham, Mah Hasan Mat berkata, dia tidak menyangka adiknya akan meninggal di tanah suci.

"Dia ini insan yang terpilih kerana meninggal di Mekah, tempat yang menjadi idaman semua orang.

"Kami berdoa agar Allah mengampuni segala dosanya dan menempatkannya bersama orang beriman dan para soleh," ujarnya.

Terdahulu, keluarga Allahyarham menerima kunjungan rombongan Lembaga Tabung Haji (TH) yang diketuai Pengarah TH Wilayah Timur, Khairoddin Ahmad, dan Pengarah TH Kelantan, Mohamad Rosli Mustapai.

Dalam lawatan itu, wakil TH turut menyampaikan sumbangan tuntutan Skim Perlindungan Pelan Takaful Keluarga dan Kemalangan Diri Berkelompok Jemaah Haji Malaysia kepada waris bagi meringankan beban keluarga.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, memaklumkan melalui satu hantaran di Facebook bahawa Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Jiwar, Jabal Omar akibat serangan jantung.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD