LANGKAWI, 20 Mei- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan tinjauan aset-aset laut atau ‘Fleet Review’ yang menyertai Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) di sini membabitkan 31 kapal dari dalam dan luar negara.
Semasa tinjauan, Perdana Menteri menaiki Kapal Diraja (KD) PERANTAU dan diberi tabik hormat daripada kru setiap setiap kapal.
14 daripada keseluruhan kapal yang mengambil bahagian adalah milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan lima lagi dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Sementara itu baki 12 lagi kapal, dari angkatan laut 10 negara lain iaitu Bangladesh, India, Indonesia, Itali, Jepun, Turkiye, Rusia, Singapura, Thailand dan Amerika Syarikat.
Sebelum tinjauan berakhir, acara terbang lintas hormat turut berlangsung membabitkan lima aset udara milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), sebuah pesawat milik Maritim Malaysia dan sebuah pesawat milik Polis Diraja Malaysia (PDRM).