KUALA LUMPUR, 20 Mei – Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah selamat berangkat tiba di Kelantan hari ini bagi memulakan lawatan rasmi selama dua hari ke negeri itu.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra disambut Sultanah Kelantan, Sultanah Nur Diana Petra Abdullah, serta adinda Sultan Kelantan, Tengku Amalin A’ishah Putri Sultan Ismail Petra.
Turut berangkat mengiringi Raja Permaisuri Agong ialah Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor.
Menurut hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, lawatan itu merupakan kali pertama Raja Zarith Sofiah ke Kelantan sejak Sultan Ibrahim menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.
Dalam rangka lawatan tersebut, Seri Paduka Baginda dijadualkan berangkat ke Majlis Santapan Malam Kurniaan Sultanah Kelantan, yang diadakan sempena Persidangan Pandu Puteri dan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-60 Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPM) 2025.
Esok, Raja Zarith Sofiah dijangka menyempurnakan persidangan dan mesyuarat agung tersebut di Dewan Tok Guru Dato’ Bentara Setia, Kompleks Kota Darulnaim, di sini.