KUALA LUMPUR, 20 Mei- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) atas sambutan ulang tahun ke-58.
Beliau menerusi hantaran Facebook memaklumkan, agensi berita nasional berkenaan memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat tepat dan berwibawa kepada rakyat.
"Dalam era digital yang pesat berubah, keupayaan BERNAMA untuk menyesuaikan diri dengan teknologi masa depan termasuk platform digital, kecerdasan buatan dan data besar, amat penting dalam memastikan berita terus sampai kepada masyarakat dengan pantas dan berkesan.
"Semoga BERNAMA terus menjadi peneraju media yang berinovasi, berintegriti dan berpengaruh di peringkat nasional dan global," menurut hantaran itu.
BERNAMA ditubuhkan bawah Akta BERNAMA 1967 dan mula beroperasi pada 20 Mei 1968 dengan memulakan perkhidmatan teks berita dan berkembang kepada perkhidmatan foto, sebelum mengendalikan stesen radio pada 2007, televisyen (2008) dan terkini media digital.