fb fb fb fb fb

Pemandu bas ditahan susulan kesalahan lesen dan rekod saman

Pengarah JPJ Pulau Pinang, Zulkifly Ismail bercakap dalam sidang media dalam Operasi Bas Pekerja, di sini

SEBERANG JAYA, 7 November -Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang menahan pemandu bas yang cuba meloloskan diri menerusi Operasi Bas Pekerja, awal pagi tadi.

Pengarah JPJ Pulau Pinang, Zulkifly Ismail berkata, pemandu tersebut tidak memiliki lesen memandu, tiada lesen vokasional serta kenderaan tidak dilindungi insurans dan cukai jalan.

Katanya hasil siasatan mendapati pemandu berusia 30an itu memiliki rekod 10 saman tertunggak.

"Apabila kenderaan ini ditahan pemandu cuba melarikan dirilah di mana anggota penguat kuasa telah mengejar kenderaan ini lebih kurang 10 minitlah, selepas disemak mendapati pemandu ni tiada lesen memandu tiada lesen vokasional lah dan kenderaan juga tiada dilindungi insurans dan juga tak ada cukai jalan. Apa yang dia dimaksudkan dia tadi maknanya arahan daripada tauke lah supaya tidak berhenti," katanya kepada pemberita, di sini.

Zulkifly menambah, dalam operasi hari ini, sebanyak 215 buah kenderaan telah diperiksa, dan tindakan telah diambil ke atas 26 buah bas pekerja dengan 81 notis saman dikeluarkan. Sebanyak 20 buah kenderaan turut disita.

Pemantauan statistik operasi JPJ sejak tahun lepas hingga tahun ini mendedahkan corak kesalahan yang berulang dan membimbangkan dalam kalangan pemandu bas pekerja.

Tiga kesalahan tertinggi yang dikesan tiada Lesen Vokasional, diikuti kesalahan tiada Lesen Memandu dan seterusnya tiada cukai jalan sah.

TETITIA YUSOFF